KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan kira-kira 3,049 serbuan terhadap kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram dilaksanakan sejak 2022 hingga Mei tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, hasil serbuan tersebut berjaya menahan 629 individu serta merampas 75,578 mesin perlombongan mata wang terbabit.
Jelas beliau, serbuan berkenaan dijalankan secara bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.
“Daripada tahun 2022 sehingga Mei 2026, kita (KDN) telah lakukan serbuan kepada 3,049 tempat. Daripada jumlah tersebut, 629 tangkapan telah dibuat dan rampasan sebanyak 75,578 mesin. Ini menunjukkan kita (KDN) memang mengambil tindakan. Cuma aspek pendakwaan, saya akan berikan data tersebut secara bertulis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkaitan jumlah kerugian akibat perlombongan mata wang tersebut serta usaha menangani kes berkenaan.
Shamsul Anuar berkata, kegiatan perlombongan mata wang kripto haram terus berlaku berikutan permintaan terhadap aset digital itu masih tinggi selain turun naik nilainya yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan kepada sindiket. – KOSMO! ONLINE














