PETALING JAYA – Penduduk dan pengguna kenderaan di kawasan Cybersouth, Sepang bimbang berhubung dakwaan terdapat perbuatan menabur paku di atas jalan raya sekali gus mengundang risiko keselamatan mereka.
Menerusi hantaran dikongsikan pengguna Threads umaru.my, dia berkongsi video memperlihatkan seorang penunggang motosikal sedang mengutip paku-paku tersebut, manakala gambar seterusnya adalah jumlah paku yang dikutip.
“Ancaman khianat semakin terasa di kawasan Cybersouth. Pagi ini dikejutkan lagi dengan insiden taburan paku di simpang utama menghala Cyberjaya,” dakwanya pada hantaran itu semalam.
Lelaki itu turut membangkitkan masalah dihadapi penduduk apabila dikatakan terdapat hanya satu akses laluan kepada mereka untuk ke jalan utama.
“Disebabkan jalan akses hanya satu untuk lebih 10,000 penduduk. Kini penduduk tiada pilihan lain selain bertelegah sesama sendiri,” dakwanya.
Dia turut meminta pihak yang berkenaan termasuk Ahli Parlimen Sepang, Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu, Majlis Perbandaran Sepang dan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sepang untuk mengambil tindakan segera membuka lebih banyak akses ke laluan utama.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas selain ada yang berterima kasih kepada penunggang motosikal tersebut serta meluahkan kesengsaraan berhubung penggunaan akses jalan untuk ke jalan utama.
“Buat abang yang kutip paku, semoga Allah beri ganjaran keamanan dunia akhirat. Dan asbab nak memudahkan urusan orang, Allah mudahkan urusan abang nak ke jannah nanti, insya-Allah,” komen Nurulnadiaothmarani.
“Terima kasih yang mengutip. Jalan nak uturn tu bukan hari-hari sibuk. Kami warga Cybersouth nak tumpang lalu. Kasihan warga kita panjang berjujuk. Terima kasih juga warga Dengkil kasi tumpang lalu,” kata Snharissa.
“Siapa yang buat ni. Semoga segera bertaubat sebelum kubur dipenuhi paku dan kaca pecah,” komen Iamshiddiq.snyq.
Hantaran berkenaan turut mendapat maklum balas daripada akaun Threads Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sepang yang memberi komen berhubung paku serta masalah jalan di kawasan itu.
“Terima kasih atas makluman. Kami berharap ia segera dilaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Berhubung isu akses keluar masuk Cybersouth, perkara ini memang sedang diberi perhatian,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














