fbpx
Joanne (tengah) memaklumkan Algorithmic Organisms 2.0 lebih daripada sebuah pameran konvensional.

AI, seni imersif bergabung dalam Algorithmic Organisms 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pameran Algorithmic Organisms 2.0 membuka lembaran baharu landskap seni kontemporari negara apabila tampil sebagai pengalaman seni audiovisual imersif pertama seumpamanya di Malaysia.

Berlangsung di The Grey Box, GMBB di sini dari 4 hingga 19 Julai ini, pameran itu menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI), visual generatif, bunyi imersif serta penceritaan ruang bagi membawa pengunjung menyelami pengalaman seni yang sentiasa berkembang.

Pameran tersebut dianjurkan oleh Jazzy Group of Companies, dipersembahkan oleh MAISEAT dengan sokongan Balai Seni Negara dan dibuka kepada orang ramai sepanjang tempoh penganjurannya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Jazzy Group of Companies, Joanne Goh berkata, Algorithmic Organisms 2.0 bukan sekadar sebuah pameran konvensional, sebaliknya menawarkan pengalaman baharu dalam menikmati seni.

“Ia mengajak pengunjung melangkah ke dalam sebuah persekitaran audiovisual yang hidup, di mana imejan yang dijana oleh Al, bunyi imersif dan hidupan digital sentiasa berubah serta berkembang dalam masa nyata.

“la mencabar cara kita menikmati seni, bukan lagı sebagai pemerhati pasif, tetapi sebagai sebahagian daripada karya itu sendiri,” katanya pada majlis pembukaan rasmi pameran itu, di sini.

Algorithmic Organisms 2.0 berlangsunh di The Grey Box, GMBB Kuala Lumpur dari 4 hingga 19 Julai ini.

Beliau berkata, pameran tersebut turut mencerminkan komitmen syarikat untuk membawa pengalaman kreatif bertaraf dunia ke Malaysia, selain menggalakkan dialog lebih luas mengenai seni, teknologi dan budaya.

Majlis pelancaran itu diserikan dengan kehadiran seniman audiovisual bertaraf antarabangsa merangkap Pengarah Kreatif 0010×0010, Ray Tijssen.

Menurut Ray, konsep kuratorial Algorithmic Organisms 2.0 memberi penekanan kepada hubungan antara kreativiti manusia dan teknologi melalui pengalaman visual serta bunyi yang berubah secara dinamik.

Majlis pembukaan turut menghimpunkan penggiat seni, wakil media, institusi kebudayaan, rakan strategik, komuniti kreatif dan wakil kor diplomatik sebelum diteruskan dengan majlis koktel eksklusif.

Acara itu juga dimeriahkan dengan persembahan DJ secara langsung, unjuran audiovisual yang diselaraskan secara sinkroni serta pengalaman pencahayaan dan bunyi imersif yang meraikan gabungan seni, muzik dan teknologi.

Selain pameran, Ray juga akan mengendalikan sesi ‘Machine Vision & Human Expression: An Interactive Masterclass with 0010×0010’ di Balai Seni Negara, yang terbuka kepada artis, pereka, pelajar, pengamal industri kreatif serta orang ramai.

Sesi yang menawarkan peluang berinteraksi secara langsung dengan seniman antarabangsa itu mengenakan yuran penyertaan RM25 dengan tempat yang terhad.

Tiket pameran pula boleh didapati menerusi platform MAISEAT, Klook dan CloudJoi.

Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan harga istimewa RM35 setiket (maksimum dua tiket) dengan hanya menunjukkan resit perbelanjaan di GMBB pada hari yang sama tanpa sebarang had pembelian minimum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN