GEORGE TOWN – Seorang penghuni lelaki mengalami kecederaan melecur pada tangan ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres di Taman Green Lane, Jelutong di sini, hari ini.
Mangsa berusia 54 tahun itu bertindak keluar dari kediamannya sebelum kehadiran pasukan bomba di lokasi kejadian, kira-kira pukul 2.54 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, operasi memadamkan kebakaran melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan bantuan BBP Bayan Baru, Paya Terubong dan Lebuh Pantai.
Menurutnya, kebakaran melibatkan tiga unit rumah teres jenis kekal (Kelas A) dengan anggaran kemusnahan rumah pertama sebanyak 80 peratus manakala rumah kedua dan ketiga masing-masing lima peratus.
“Kebakaran juga turut melibatkan sebuah van jenis Toyota Lite Ace dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Dalam kejadian itu, terdapat seorang mangsa iaitu penghuni rumah pertama dilaporkan terselamat dan berjaya keluar sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian.
“Mangsa mengalami melecur tahap satu pada tangan akibat kebakaran dan telah diberikan rawatan awal oleh pihak Ambulan Komuniti Sungai Ara,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, kebakaran telah berjaya dipadamkan pada pukul 4.02 petang dan diteruskan dengan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Operasi memadamkan kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 5.42 petang tadi dan kes kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
Habis//














