PETALING JAYA – Seorang ibu berharap setiap kes disiplin melibatkan dasar ‘You Touch, You Go’ di institusi pendidikan seliaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) terutama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disiasat secara menyeluruh.
Menerusi satu hantaran di Facebook, pengguna, Nurul Izyani berkata, setiap tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan perlu mengambil kira punca sebenar kejadian dan bukan sekadar menjatuhkan hukuman berdasarkan tindakan fizikal yang berlaku.
Wanita itu turut berkongsi pengalaman keluarganya apabila anaknya antara pelajar yang dikenakan tindakan disiplin dan dipindahkan ke sebuah MRSM lain pada April tahun lalu, kira-kira enam bulan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, sebagai ibu bapa, dia menerima hakikat bahawa anaknya melakukan kesalahan selepas mengaku menampar bahu seorang pelajar lain susulan konflik yang didakwa berlaku antara kumpulan pelajar.
Katanya, dia dan suami tidak pernah cuba mempertahankan perbuatan anaknya kerana mengakui setiap kesalahan perlu dipertanggungjawabkan.
“Namun apa yang amat meruntun hati ialah kami merasakan kes itu tidak diteliti secara menyeluruh. Kami sendiri tidak diberi peluang untuk bertemu semula dengan pihak yang terlibat atau ibu bapa pelajar tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar.
“Hukuman dijatuhkan dengan begitu cepat sedangkan tiada bukti bergambar atau video, tiada laporan polis dan tiada laporan kecederaan daripada doktor. Banyak persoalan yang masih bermain di fikiran kami sehingga hari ini,” katanya.
Wanita itu juga berpendapat setiap kes seharusnya disiasat secara adil dengan mengenal pasti punca sebenar sesuatu insiden selain menilai faktor yang membawa kepada kejadian tersebut.
Tegasnya, siasatan perlu dinilai termasuk kelemahan sistem seperti kekurangan pemantauan, aduan pelajar terdahulu serta konflik yang tidak ditangani lebih awal.
Tambahnya, sebagai ibu bapa dia memahami kesedihan keluarga yang berdepan situasi sama apabila masa depan anak seolah-olah berubah dalam sekelip mata.
“Kami pernah menangis, mempersoalkan banyak perkara dan merasakan dunia ini tidak adil. Tetapi Alhamdulillah, hari ini kami dapat melihat hikmah di sebalik ujian tersebut. Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya,” katanya.
Dalam perkongsian susulan, Nurul Izyani memaklumkan anaknya telah menerima hukuman yang dikenakan, menjalani proses tersebut dan kini meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Jika slogan ‘You touch, you go’ benar-benar menjadi pengajaran kepada semua pelajar, mengapa setiap tahun kita masih mendengar kes-kes yang hampir sama berulang?
“Apabila melibatkan remaja, emosi, tekanan dan konflik sesama mereka, tidak semua keadaan boleh diselesaikan hanya dengan slogan,” soalnya.
Dia turut berpandangan setiap kes tindakan fizikal mempunyai latar belakang berbeza dan perlu dinilai mengikut konteks, termasuk sama ada ia berpunca daripada provokasi berpanjangan atau melibatkan pelajar yang sememangnya mempunyai rekod membuli secara berulang.
“Sokongan bukan bermaksud membenarkan perbuatan yang salah, tetapi membimbing mereka mengakui kesalahan, menerima akibat daripada perbuatan itu, memperbaiki diri dan bangkit semula menjadi insan yang lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE















