REMBAU – Seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian tragis selepas merempuh belakang kenderaan di lorong kecemasan lalu tercampak ke atas jalan dan dirempuh kenderaan lain di Kilometer 236.2, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), di sini, malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, mangsa iaitu wanita berusia 26 tahun bekerja sebagai pembantu jurutera syarikat swasta disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Kia Carens dipandu lelaki yang merupakan pesara tentera berusia 78 tahun berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan sebelum motosikal Honda RS150R yang ditunggang manga melanggar bahagian bucu kanan belakang kenderaan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan dipercayai dilanggar sebuah lagi kenderaan yang identiti serta nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Menurut Azmi, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














