PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di seluruh Melaka dan Johor di Tangkak, Muar dan Batu Pahat,” katanya.
Di Sarawak, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Sri Aman, Betong (Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit) dan Kapit (Song).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













