MUSIM kali ini betul-betul durian runtuh. Lambakan buah membuatkan harga durian pelbagai jenis turut menjunam.
Baru permulaan musim, durian kampung dijual serendah 50 sen, RM1 dan RM2 sebiji. Durian kayangan termasuk musang king, IOI, udang merah pula boleh dibeli dengan harga serendah RM8 sekilogram.
Bertahun-tahun sebelum ini, jangan mimpi anda dapat membeli dengan harga sebegini. Buah kayangan ini terlalu mahal. Ketika itu paling beruntung adalah orang yang tanam durian atau memiliki kebun buah.
Dahulu, nampak gerai durian kita hanya tengok-tengok sahaja, tetapi kini boleh singgah kerana harga durian mampu milik. Bukan setakat satu plastik, malah berplastik-plastik boleh dibawa pulang. Kenduri.
Keadaan ini menggembirakan peminat, penggemar raja buah ini apabila mereka dapat makan sepuas-puasnya namun situasi lain untuk pekebun dan penjual. Buah banyak namun untung tipis.
Ramai cakap ini musim durian banjir, istilah ini menggambarkan hasil terlampau banyak. Semua kebun mengeluarkan buah pada masa sama sehingga menyebabkan bekalan melebihi permintaan.
Jika lebih 10 tahun dahulu semua berebut mahu tanam durian kerana harga tinggi, kini semua sibuk menjual. Pelbagai promosi dibuat, konsep isi penuh plastik RM20, satu bakul RM10 dan bermacam-macam lagi.
Durian merupakan buah bermusim namun tidak semua orang boleh makan dalam kuantiti yang banyak setiap hari. Walaupun murah ada had untuk seseorang menikmatinya dalam sehari lebih-lebih lagi individu berpenyakit.
Durian yang masak hanya bertahan beberapa hari, lambat makan atau menjual, ia mudah rosak. Maka tidak hairanlah ada penjual terpaksa membuang durian.
Seorang pekebun terpaksa membuang kira-kira 1 tan buah durian termasuk musang king kerana rosak dalam tempoh hampir sebulan pada musim kali ini.
Dianggarkan sebanyak 200 hingga 300 kilogram durian gugur dan rosak dikebunnya setiap minggu. Keadaan itu disebabkan cuaca panas dan angin kencang.
Sementara di Baling, Kedah seorang pemilik kebun mempelawa anak-anak yatim, pelajar pondok untuk merasai suasana mengutip durian dan makan raja buah itu di dalam dusun.
Dia yang mempunyai 1,000 pokok termasuk yang dipajak mengakui musim kali ini sangat luar biasa dengan kualiti buah terbaik. Buah banyak sehingga tidak terjual dan termakan.
Berbicara tentang durian tidak lengkap memperkatakan mengenai nama-nama unik raja buah ini. Setiap kali musim, ada banyak nama keluar antaranya bunga merah, katak puru, kayu, pasai dan daun. Varieti durian kampung atau kahwin.
Bunga merah kerana ia mengeluarkan bunga berwarna merah sebelum berputik dan berbuah manakala katak puru kerana corak kulitnya agak menggerutu.
Bagi sesetengah orang durian itu dapat mengalahkan kesedapan rasa durian kayangan antaranya musang king, damak, duri hitam dan IOI. Tepuk poket tanya selera. -KOSMO! ONLINE














