fbpx
Gambar hiasan

NSM Norway: Bayaran RM571.9 juta peluru berpandu LCS bukan pendahuluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menegaskan pembayaran RM571.9 juta bagi perolehan sistem peluru berpandu anti-kapal Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) bukan bayaran pendahuluan, sebaliknya dibuat mengikut kemajuan kerja yang disahkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika pembayaran dibuat, semua sistem NSM buatan Norway itu telah siap dihasilkan, melepasi ujian ditetapkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan berada dalam keadaan sedia untuk dihantar ke negara ini.

“Pembayaran dibuat selaras dengan syarat kontrak, bukannya secara pendahuluan tanpa kemajuan fizikal,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PN-Pasir Gudang) yang mempersoalkan pembayaran penuh nilai kontrak RM571.9 juta dibuat terlalu awal.

Mengulas isu pembatalan lesen eksport oleh kerajaan Norway, Mohamed Khaled berkata dakwaan bahawa kontrak itu tidak mempunyai klausa melindungi kepentingan kerajaan adalah tidak tepat.

Katanya, kontrak berkenaan mengandungi peruntukan yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan atau pelanggaran obligasi oleh pihak terbabit.

“Pembatalan lesen eksport merupakan keadaan di luar kawalan kerajaan Malaysia dan syarikat pembekal. Kementerian sedang menggunakan peruntukan dalam kontrak untuk melindungi kepentingan kerajaan, termasuk mengemukakan tuntutan mendapatkan semula bayaran serta ganti rugi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Mohd. Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan), beliau memberi jaminan perkembangan itu tidak menjejaskan kesiapsiagaan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana TLDM masih memiliki aset dan sistem persenjataan sedia ada bagi mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Menurutnya, pembatalan lesen eksport itu juga tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal LCS yang telah dirancang.

Pada masa sama, katanya, TLDM sedang menilai beberapa sistem peluru berpandu yang berpotensi menggantikan NSM selain meneruskan langkah mitigasi termasuk program lanjutan hayat aset, diversifikasi sumber perolehan persenjataan dan memperkukuh diplomasi pertahanan bagi menjamin kesinambungan rantaian bekalan strategik.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN