fbpx
HISHAMUDDIN

MHO ingatkan pihak berkuasa jangan hanya kejar KPI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak menjadikan kes keldai akaun sebagai medium mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) sehingga mengabaikan keadilan terhadap mangsa yang diperdaya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pertubuhan itu bimbang terdapat individu yang sebenarnya menjadi mangsa sindiket tetapi didakwa berulang kali walaupun kesalahan yang dilakukan hanya sekali.

Katanya, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada tindakan pendakwaan dibuat kerana lebih mudah berbanding memburu dalang sebenar yang mengaut keuntungan daripada jenayah penipuan.

“Janganlah mereka ini dijadikan sebab untuk mendapat KPI sedangkan mereka tidak mempunyai niat melakukan jenayah dan tidak memperoleh apa-apa manfaat daripada transaksi tersebut,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, Megan Avenue, Kuala Lumpur hari ini.

Hishamuddin berkata, terdapat mangsa yang hanya menyerahkan kad bank sekali, namun berdepan siasatan dan pertuduhan di beberapa daerah kerana transaksi dilakukan berulang kali oleh sindiket.

Seorang mangsa, Puan Getha, 35, yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan berkata, dia turut menjadi mangsa selepas menyerahkan kad bank kepada individu yang menawarkan pinjaman wang sebelum akaunnya disalahgunakan.

Katanya, dia telah membuat laporan polis sebaik menyedari akaunnya dibekukan, namun tetap dipanggil untuk disiasat sebelum didakwa di mahkamah.

“Saya tanya kenapa baru cari saya sedangkan saya dah buat laporan lama sebab saya pun mangsa. Pihak polis bagi tahu saya yang dia nak cukupkan KPI sahaja.

“Saya juga didesak untuk mengaku bersalah dan membayar denda yang dikenakan supaya memudahkan urusan mereka,” dakwanya.

Pegawai Perhubungan MHO, Abang Sufri Mahmud berkata, pertubuhan itu tidak mempertikaikan kuasa polis menjalankan siasatan, sebaliknya mempersoalkan pelaksanaan prosedur yang didakwa memberi tekanan kepada mangsa.

Katanya, mangsa diminta mengaku bersalah dengan alasan hanya dikenakan denda ringan tanpa memahami kesan jangka panjang seperti rekod jenayah dan kesukaran membuka akaun bank baharu.

Sehubungan itu, Hishamuddin berkata, MHO akan menghantar representasi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Jabatan Peguam Negara bagi meminta semakan semula terhadap kaedah siasatan dan pendakwaan melibatkan mangsa keldai akaun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN