KOTA TINGGI – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) sedang merancang untuk memperluaskan kawasan wilayahnya bagi merancakkan lagi agenda pembangunan di Johor Tenggara.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menegaskan, langkah peluasan tersebut tidak melibatkan sebarang pengambilalihan atau pemilikan tanah-tanah milik penduduk sebaliknya, perancangan itu bertujuan memperluaskan kawasan untuk dimajukan.
”Untuk itu, ‘survey’ telah dibuat untuk mencari titik tolak persetujuan daripada responden dalam kajian itu di mana didapati kira-kira 96 peratus daripada responden telah bersetuju untuk Kejora meluaskan kawasan yang akan dibangunkan.
“Tertakluk atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan juga Tunku Mahkota Johor. Saya ingin sebutkan bahawa tertakluk pada perkenan Tuanku berdua kerana saya tidak mahu timbul persepsi bahawa Kejora berhajat untuk membeli atau memiliki tanah-tanah berkenaan.
“Sebaliknya, penyelarasan bagi meluaskan pembangunan di kawasan Kejora yang sedia ada, kerana didapati bahawa kemajuan kawasan-kawasan yang dibangunkan oleh Kejora itu berada di tahap yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sanjungan Legasi Kejora Tahun 2025 serta Majlis Sentuhan Kasih Kejora di Lotus Desaru, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan komitmen beliau menyokong permohonan cadangan untuk mengangkat Pengerang sebagai sebuah daerah baharu di Johor.- KOSMO! ONLINE














