fbpx
Kelewatan menguruskan jenazah bukan sahaja memberi tekanan emosi kepada waris, bahkan boleh menjejaskan penghormatan yang sewajarnya diberikan kepada jenazah.

Kebumi jenazah dulu, soal duit kemudian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Jenazah perlu dikebumikan terlebih dahulu, ma­­nakala urusan bayaran boleh di­selesaikan kemudian bagi memastikan urusan pengebumian dapat disegerakan dan wa­ris pula tidak dibebani isu bayaran.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, ini bertepatan dengan ajaran Islam dan perintah Rasulullah SAW yang menuntut agar pengurusan jenazah di­segerakan.

“Syarak menghendaki proses memandikan, mengkafankan, men­solatkan dan mengebumikan jenazah dilakukan tanpa berle-ngah-lengah, apatah lagi diganggu dengan isu bayaran.

“Kecuali terdapat keperluan yang diiktiraf syarak seperti me­nunggu ahli keluarga terdekat dalam tempoh yang munasabah atau keperluan siasatan pihak berkuasa.

“Justeru, jika benar berlaku kelewatan sehingga berjam-jam ha­nya kerana keluarga tidak mampu menjelaskan kos pengurusan jenazah, maka keadaan itu amat mendukacitakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, kelewatan me­nguruskan jenazah bukan sahaja memberi tekanan emosi kepada waris, bahkan boleh menjejaskan penghormatan yang sewajarnya diberikan kepada jenazah.

“Kemiskinan tidak sepatutnya menjadi halangan. Realiti kehidupan hari ini menunjukkan masih terdapat keluarga yang hidup serba kekura­ngan.

“Ada yang tidak mempu­nyai simpanan, tidak mencarum khairat kematian dan tiada perlindungan takaful. Jika berlaku kematian secara mengejut, mereka sukar menyediakan kos pe­ngurusan jenazah,” jelas­nya.

Justeru katanya, Islam tidak membiarkan mereka bersendirian, sebaliknya masyarakat dipertanggungjawabkan untuk membantu.

“Masjid berfungsi sebagai pusat pendidikan, kebajikan dan penyelesaian masalah masyarakat. Atas dasar itu, setiap masjid atau sekurang-kurangnya setiap kariah wajar mempunyai Tabung Infak Pengurusan Jenazah yang diurus secara sistematik.

“Tabung ini boleh digunakan bagi membantu keluarga fakir miskin, asnaf, warga emas yang hidup bersendiria, mualaf yang tiada keluarga, individu yang tiada khairat kematian,” katanya.

Di Klang, Selangor, Nazir Masjid Ahmadi Rantau Panjang, Klang, Mustapa Kamal Mohd. Nasir berkata, kos pengurusan jenazah bagi waris kurang berkemampuan di kawasan itu kebia­saannya dibiayai individu perseorangan yang berinfak.

“Jika berlaku sesuatu kematian, pihak masjid akan membuat pengumuman secara umum kepada penduduk kampung. Biasanya akan ada individu yang menyalurkan sumbangan infak kepada masjid bagi pengurusan jenazah itu,” katanya.

Tambahnya, tabung khairat masjid juga akan digunakan bagi membantu golongan memerlukan jika kos itu tidak mencukupi.

“Tabung itu bukan hanya melibatkan kematian malah sumbangan kepada anak-anak penduduk bagi pendidikan mereka. Alhamdulilah, pengurusan jenazah di masjid ini masih berjalan dengan baik dan lancar setakat ini,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan isu pengurusan jenazah memerlukan tindakan penyelesaian segera berikutan terdapat kes jenazah dibiarkan sehingga tujuh jam kerana waris tidak mampu melunaskan kos pengurusan pengebumian kepada pihak masjid.

Situasi yang didakwa berlaku di beberapa negeri itu mengakibatkan jenazah ‘terbiar’ dan hanya ditutup kain batik sementara menunggu bayaran diselesaikan.

Lebih menyayat hati, kelewatan itu menyebabkan ada jenazah dihurung semut sebelum dapat diuruskan dengan sempurna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN