JERANTUT – Ketika lambakan durian premium seperti musang king dan duri hitam membanjiri pasaran, sejenis durian berbunga merah mencuri perhatian penggemar raja buah apabila menjadi buruan pelanggan di Kampung Damak, di sini.
Raja buah itu semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat kerana menawarkan rasa lemak manis, tekstur isi lembut serta aroma sedikit tengik yang menjadi identiti tersendiri berbanding varieti premium lain.
Peraih durian, Zulkifly Mahmud, 58, berkata, walaupun buah itu mula dijual sejak musim lalu, durian bunga merah pada awalnya kurang dikenali kerana ramai belum berpeluang menikmati keistimewaan rasanya.
“Sambutan mulanya agak perlahan kerana orang ramai lebih mengenali musang king dan durian premium lain. Selepas pelanggan cuba sendiri, ramai yang datang semula untuk membeli.
“Keunikan isi yang berwarna putih, teksturnya lembut dan rasanya lemak manis menyebabkan durian ini semakin dikenali dari mulut ke mulut sehingga menjadi buruan penggemar,” katanya ketika ditemui di Kampung Damak, di sini semalam.
Ujarnya, nama ‘bunga merah’ diberi pekebun kerana pokok durian tersebut mengeluarkan bunga berwarna merah sebelum berputik dan berbuah.
“Setakat ini hanya beberapa pekebun di Kampung Perlok, Kampung Ulu Cheka dan beberapa penempatan Orang Asli berhampiran menanamnya.
“Walaupun ada pokok yang dianggar berusia hampir 60 tahun dan mengeluarkan hasil yang banyak setiap musim, sebelum ini pasarannya hanya tertumpu di sekitar kampung. Musim ini permintaannya meningkat apabila semakin ramai sanggup datang dari luar untuk mendapatkan bunga merah,” katanya.
Sementara itu, peniaga durian, Loh Jek Lan, 56, berkata, sejak dua minggu lalu ramai pelanggan singgah di gerainya semata-mata mahu merasai keunikan bunga merah.
“Permintaan memang tinggi. Saya jual pada harga RM15 sekilogram dan kebanyakan pelanggan tidak banyak bertanya soal harga kerana mahu merasai sendiri kelainan durian ini.
“Peminat mencari sesuatu yang berbeza selepas menikmati pelbagai jenis durian premium di pasaran lain,” katanya.
Katanya, bunga merah masih dikategorikan sebagai varieti durian kampung, namun mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan melalui kaedah cantuman tunas.
“Musim ini sahaja saya sudah jual kira-kira satu tan bunga merah. Malah, ada peraih memasarkannya ke Lembah Klang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














