KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd untuk menangguhkan prosiding menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan berhubung nilai tanah dikenali sebagai Duta Enclave.
Hakim Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas mendapati kes itu sepatutnya sudah berada di peringkat akhir untuk pentaksiran ganti rugi yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan.
“Mahkamah juga perlu menimbang hujahan yang dikemukakan oleh pihak defendan (kerajaan) bahawa sekiranya penangguhan prosiding ini dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada pihak defendan kerana Mahkamah Rayuan telah memerintahkan bahawa faedah dibayar pada kadar enam peratus dari 1956 hingga tarikh pampasan dibayar.
“Oleh itu, setelah mempertimbangkan alasan-alasan ringkas, mahkamah berpendapat permohonan untuk menggantung prosiding ini ditolak tanpa sebarang kos,” kata hakim itu.
Selain itu, Roslan turut berkata walaupun bidang kuasa mahkamah adalah untuk menentukan permohonan penangguhan dibenarkan atau sebaliknya, ia tidak dapat mengatasi keadilan kepada pihak-pihak.
“Mahkamah ini berpendapat, tidak wajar untuk mempertimbangkan siapa pihak-pihak dalam kes ini, yang penting kepada mahkamah adalah untuk memutuskan berdasarkan kepada prinsip undang-undang yang telah dinyatakan berkenaan penangguhan prosiding,” katanya.
Justeru mahkamah menetapkan pendengaran mengenai ganti rugi pada 14 dan 21 Ogos serta 1 September ini.
Dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan mewakili kerajaan selaku defendan manakala peguam Ira Biswas bertindak bagi pihak Semantan Estate.- KOSMO! ONLINE














