fbpx
PEMAIN Belanda, Denzel Dumfries (kiri) dan Wout Weghorst tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas tewas kepada Maghribi 2-3 menerusi penentuan penalti Piala Dunia 2026 di Stadium Monterrey, Guadalupe, Mexico, hari ini. -AFP

Piala Dunia 2026: Maghribi hantar Belanda pulang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MONTERREY, Mexico – Maghribi mengukuhkan reputasi sebagai antara pencabar utama kejuaraan Piala Dunia 2026 apabila menyingkirkan gergasi Eropah, Belanda menerusi kemenangan dramatik 3-2 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan pada aksi pusingan 32 terbaik di Stadium Monterrey, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Walid Regragui mara ke pusingan 16 terbaik, sekali gus meneruskan reputasi terbaik mereka di pentas berprestij dunia itu selepas mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

Belanda terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Cody Gakpo pada minit ke-72  yang tenang menewaskan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou sekali gus meletakkan skuad Oranje hampir ke pusingan 16 terbaik.

Namun, Maghribi enggan mengibarkan bendera putih apabila pertahanan tengah, Issa Diop, muncul wira dengan tandukan tepat pada masa kecederaan (90+1) untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

PEMAIN Maghribi meraikan kejayaan selepas menewaskan Belanda 3-2 menerusi penentuan penalti pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Monterrey, Guadalupe, Mexico, hari ini. -AFP

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang 30 minit masa tambahan, namun ketumpulan jentera serangan dan faktor keletihan menyebabkan keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat, memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penentuan penalti berlangsung penuh dramatik apabila Maghribi terlebih dahulu dikejutkan dengan kegagalan Neil El Aynaoui menyempurnakan sepakan pertama. Namun, Belanda gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila Justin Kluivert turut mensia-siakan peluang sebelum Soufiane Rahimi menyamakan kedudukan 1-1.

Drama berterusan apabila Wout Weghorst dan Chemsdine Talbi masing-masing menyempurnakan sepakan ketiga, manakala Quinten Timber serta bintang Maghribi, Achraf Hakimi, sama-sama gagal pada sepakan keempat.

Ketika tekanan memuncak, Crysencio Summerville menghampakan pasukan Belanda apabila gagal menyempurnakan sepakan sebelum Ismael Saibari tampil tenang menyempurnakan penalti kemenangan untuk menghadiahkan Maghribi kemenangan 3-2.

Selepas menyingkirkan Belanda, Maghribi kini membawa misi baharu untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila dijadualkan bertemu Kanada dalam aksi pusingan 16 terbaik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN