Skuad Harimau Malaya dijangka menjalani kem latihan pusat sempena Piala ASEAN 2026 pada awal bulan depan.

Piala ASEAN 2026: Sasaran realistik Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANYA tinggal kurang sebulan lagi saingan berprestij rantau Asia Tenggara, Piala ASEAN 2026 akan bermula dengan skuad Harimau Malaya sudah mengorak langkah apabila membuat rombakan dalam barisan kejurulatihan.

Keputusan pengendali import, Peter Cklamovski untuk meletakkan jawatan atas persetujuan bersama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agak mengejutkan.

Namun, berdasarkan perancangan asal, FAM sudah merangka strategi untuk memberikan tugas skuad Harimau Malaya pada kempen Piala ASEAN 2026 kepada jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain.

Bagaimanapun, Nafuzi turut membuat keputusan yang sama dengan Cklamovski sebelum FAM mengesahkan kehadiran bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe selaku pengendali interim Harimau Malaya.

Walaupun diberikan tugas pada masa yang singkat, harapan untuk melihat Cheng Hoe membantu Harimau Malaya kembali menjulang kejuaraan sememangnya tinggi selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos.

Situasi ini kerana Malaysia hanya sekali menjadi ‘raja’ bola sepak Asia Tenggara pada penganjuran edisi 2010 dan muncul naib juara sebanyak tiga kali iaitu masing-masing pada 1996, 2014 dan 2018.

Justeru, kesuntukan masa bukanlah alasan untuk FAM dan pengurusan Harimau Malaya untuk tidak meletakkan sasaran pada kejohanan Piala ASEAN nanti.

Jika dinilai secara objektif, sasaran paling munasabah buat skuad negara adalah memastikan tempat ke separuh akhir terlebih dahulu.

Ia bukan sasaran yang mudah, sebaliknya cukup relevan berdasarkan ranking semasa pasukan negara yang masih berada dalam fasa memperkukuhkan identiti selepas dibelenggu isu pemalsuan dokumen pemain warisan tahun lalu.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin bersetuju cadangan agar FAM meletakkan sasaran yang realistik kepada skuad kebangsaan berikutan peralihan ‘tampuk’ kejurulatihan dengan memberi tumpuan untuk layak ke peringkat kalah mati dahulu.

Menurutnya, kemungkinan sasaran lebih tinggi wajar diletakkan jika Cheng Hoe dapat mengumpulkan pemain-pemain utama meskipun sukar kerana kejohanan itu diluar kalender FIFA.

“Dalam keadaan serba tidak menentu ketika ini, saya rasa lebih baik kita fokus daripada setiap peringkat terlebih dahulu. Kita tidak boleh letak sasaran terlalu tinggi.

“Namun, wajar untuk pasukan kebangsaan cuba lepaskan peringkat kumpulan terlebih dahulu dengan mara ke separuh akhir. Jika kita terpaksa gunakan ramai pemain muda, sasaran tersebut akan menjadi beban buat mereka sehingga memberi tekanan di atas padang,” katanya.

Pandangan sama turut dipersetujui pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli yang menganggap skuad Harimau Malaya wajib layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

“Mereka kena cuba sedaya untuk lolos ke separuh akhir. Kalau main tanpa tekanan pun tidak boleh dan kita kena letak juga sasaran,” katanya.

Dengan sasaran yang realistik, perancangan, Harimau Malaya dilihat mampu kembali muncul sebagai pencabar utama sekali gus memulihkan semula maruah yang tercalar di rantau Asia Tenggara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN