FOXBOROUGH – Jerman dijangka akan memperkukuhkan benteng pertahanan menjelang aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Paraguay yang dijadualkan berlangsung di Stadium Boston awal pagi esok.
Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann percaya mereka sudah memiliki ramuan terbaik bagi menghadapi Paraguay yang dianggap sebagai salah sebuah pasukan paling fizikal pada Piala Dunia kali ini.
Justeru, beliau menggesa barisan pemainnya supaya tidak memegang bola terlalu lama selain perlu membuat hantaran dengan kadar segera sekiranya enggan berdepan pertembungan fizikal dengan skuad La Albirroja.
“Kami tahu mereka merupakan antara pasukan yang memiliki kelebihan fizikal. Bukan senang untuk melakukan latihan fizikal, jadi tidak mungkin kami mampu menguatkan bahagian atas badan masing-masing sebelum perlawanan itu.
“Apa yang kami akan buat adalah pemain-pemain perlu melakukan hantaran dengan kadar segera dan jangan pegang bola terlalu lama. Kami perlu mengelak sebarang aksi fizikal dengan Paraguay,” katanya.
Sementara itu, beliau turut melaungkan keyakinan pemain tengah, Florian Wirtz mampu untuk meledak gol pertamanya pada Piala Dunia kali ini selepas gagal mencetak sebarang jaringan di peringkat kumpulan.
“Saya tidak ada sebarang masalah dengan Flo (Wirtz) kerana dia sentiasa berada di posisi yang betul, cuma belum ada rezeki. Saya yakin dia mampu tamatkan penantian itu berdepan Paraguay nanti,” ujar Nagelsmann. – AGENSI














