JOHOR BAHRU – Enam pelajar senior sebuah sekolah berasrama di Muar bertindak membuli dan memukul seorang pelajar tingkatan dua kerana didakwa menghisap vape.
Bagaimanapun tindakan kesemua suspek lelaki berusia 17 tahun itu membawa padah apabila berjaya dicekup polis dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Muar dan Alor Gajah awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa mangsa pelajar lelaki berusia 14 tahun itu pukul 5 petang semalam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian buli tersebut berlaku sekitar bulan Mei lalu di asrama sekolah berkenaan dan mangsa dipercayai telah berhenti sekolah.
“Dalam kejadian tersebut, mangsa telah dipukul di bahagian dada serta dipaksa menyerahkan wang kepada suspek yang juga merupakan pelajar senior di sekolah tersebut.
“Mangsa juga mengadu lebam di bahagian mata kerana dihantuk dengan kepala. Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma sehinggakan menyebabkan mangsa mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kerana mangsa dikatakan menghisap vape yang diperolehi daripada seorang pelajar yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE














