JOHOR BAHRU – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan sebarang manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini kerana kedua-dua gabungan itu tidak bersedia berkhidmat kepada rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebaliknya berkata, pihaknya telah melakukan persediaan awal dengan mengumumkan manifesto bertujuan menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030.
Katanya, manifesto BN sempena PRN ini merupakan kesinambungan terhadap usaha yang telah dilakukan sepanjang tempoh empat tahun lalu.
“Manifesto BN adalah kesinambungan daripada enam teras Maju Johor yang telah diumumkan pada 2022. Ada pelbagai inisiatif antara agenda perumahan, agenda orang muda dan juga Bantuan Kasih Johor.
“Parti-parti lain sebaliknya, mungkin mereka sukar kongsi manifesto sebab manifesto terdahulu kebanyakannya janji manis, janji bulan dan bintang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Warga Pangsapuri Saujana di Pangsapuri Bukit Saujana, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara janji PH yang masih belum terlaksana adalah projek Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART), pelaksanaan Hospital Sultanah Aminah 2 dan pengoperasian penuh Hospital Pasir Gudang.
“Sehingga kini ketiga-tiga perkara itu masih belum dilaksana, E-ART misalnya telah diumumkan sejak dua, tiga lalu tetapi sehingga sekarang tiada perkembangan. Hospital Pasir Gudang dijanjikan beroperasi penuh menjelang Jun tahun ini, tetapi sehingga sekarang masih tidak selesai.
“Jadi sebab itu saya rasa untuk mereka menjanjikan sesuatu, orang dah tak percaya. Umum memang senang nak umum, tetapi nak melaksanakannya, itu akan menunjukkan sama ada pemimpin itu ikhlas ataupun tidak,” katanya.
Kelmarin, Onn Hafiz mengumumkan Manifesto BN Johor yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’.
Antara yang ditawarkan BN Johor termasuklah mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan, selain meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi Johor melalui peruntukan dana RM100 Juta.-KOSMO! ONLINE














