KUALA TERENGGANU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok menerusi empat operasi berasingan di negeri ini dan Kelantan dengan nilai rampasan termasuk duti serta cukai mencecah RM807,718.
Pengarah JKDM Terengganu, Hasbollah Din berkata, operasi dijalankan sepanjang bulan April dan Mei lalu turut melibatkan penyitaan beberapa kenderaan dipercayai digunakan bagi kegiatan penyeludupan berkenaan.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan melibatkan 944,736 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM148,552 manakala duti dan cukai terlibat pula dianggarkan RM659,165.
“Siasatan mendapati sindiket menggunakan pelbagai lokasi seperti premis kediaman, kabin di tapak pembinaan terbiar serta kenderaan sebagai tempat penyimpanan sebelum rokok terbabit diedarkan ke pasaran tempatan.
“Tindakan itu dipercayai bagi mengaburi pergerakan pihak berkuasa selain mengurangkan risiko dikesan ketika proses penghantaran dan pengedaran,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hasbollah Din berkata, rampasan terbesar direkodkan melibatkan 400,000 batang rokok dengan nilai sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM321,200 menerusi serbuan di sebuah tapak pembinaan terbiar di Besut pada 20 April lalu.-KOSMO! ONLINE














