PETALING JAYA – Seorang tukang urut wanita tidak menyedari selama ini dia melakukan amalan syirik apabila didakwa memohon pertolongan daripada jin sewaktu memberi rawatan alternatif dan mengurut pesakitnya.
Kisah itu dikongsikan oleh seorang perawat Islam pada Thread Sazah Wawa Therapist.Bil.Quran yang memuat naik hantaran perbualannya bersama seorang tukang urut wanita dan anaknya.
Menerusi perbualan mereka, tukang urut itu memberitahu mempelajari teknik mengurut dengan seorang warga emas lelaki dan dia mendakwa tidak menggunakan benda ‘pelik’ dan hanya memohon pertolongan Allah sepanjang memberi khidmat kepada pesakit.
Bagaimanapun, kejadian sebenar terbongkar selepas diberitahu anak tukang urut berkenaan berhubung ayat dibaca ibunya sewaktu merawat dan mengurut.
“Ustazah, bacaan dia macam ni ke? Api, air tanah, angin. Eh mak, mak kan selalu baca tu, hari-hari mak baca. Mak nak ubat orang, urut orang, mesti mak baca,” kata anak tukang urut berkenaan menerusi perbualan dikongsikan Sazah Wawa Therapist.Bil.Quran.
Tukang urut tersebut berasa cuak dan dia mendakwa, tidak mengetahui ayat diamalkan sebenarnya adalah pemujaan jin.
Malah, wanita itu dikatakan turut menyimpan perkakas seperti buluh tumpat dan raja kayu untuk merawat pesakit.
Sementara itu, Sazah Wawa Therapist.Bil.Quran turut menasihati orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan alternatif supaya berwaspada sekali gus mengelakkan daripada melakukan perkara syirik.
“Nasihat saya untuk dapatkan rawatan dengan perawat-perawat yang dah diiktiraf kerajaan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














