SERDANG – Malaysia kini perlu bergerak pantas membangunkan industri baharu termasuk teknologi dron bagi memastikan negara muncul sebagai antara hab teknologi utama di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri dron merupakan antara bidang baharu yang perlu diberi perhatian kerana teknologi itu sebelum ini tidak pernah menjadi sebahagian daripada perbincangan utama negara.
Menurutnya, kerajaan telah mengarahkan Kabinet, kementerian berkaitan, syarikat penyelidikan sains dan semua agensi berkaitan supaya memberikan segala sokongan yang diperlukan kepada industri pesawat tanpa pemandu (UAV).
“Mereka tidak perlu risau mengenai keperluan kerana dasar sudah jelas. Sekarang, industri dron dan industri berkaitan telah diberikan sokongan. Bukan sahaja untuk pesawat udara dan industri pertahanan, tetapi juga untuk pelbagai aktiviti.
“Contohnya, dalam pembungkusan, saya telah melihat penggunaan dron yang luar biasa untuk membantu meningkatkan produktiviti melalui teknologi baharu, dron dan AI,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ekspo Dron Malaysia (MyDrone) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.
Menurutnya, pasaran UAV global dijangka melepasi AS$55 bilion menjelang 2030, sekali gus membuka peluang besar kepada Malaysia untuk memanfaatkan pertumbuhan industri tersebut.
“Jika Malaysia mahu menjadi negara yang lebih berjaya dari segi, kita mesti cepat dan pantas meneroka teknologi serta bidang-bidang baharu.
“Dron adalah satu bidang yang berkait rapat dengan digital dan AI dan kita harus membina ekosistem yang sesuai dan wajar untuk memanfaatkannya,” katanya.- KOSMO! ONLINE














