SETIU – Idea kreatif pengusaha udang celup tepung sekitar Penarik dan Rhu Sepuluh menyediakan hidangan tersebut sepanjang satu kilometer sempena Karnival Pekan Budaya Daerah Setiu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Pegawai Daerah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, hidangan tersebut menggunakan kira-kira 100,000 ekor udang segar yang dianggarkan seberat setan.
“Hidangan udang celup tepung terbabit disediakan 21 pengusana makanan tersebut yang berniaga di sekitar Penarik dan Rhu Sepuluh.
“Ia dihidangkan di atas 547 meja sepanjang satu kilometer,” katanya di Laman Rhu Sepuluh di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis perasmian Karnival Pekan Budaya Daerah Setiu yang dirasmikan Pegawai Kewangan Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Yusaini Amir berkata, bekalan udang terbabit disumbangkan Blue Archipelago Berhad yang mengusahakan kolam udang di daerah tersebut.
Beliau berkata, udang-udang celup tepung itu digoreng secara bergotong-royong oleh semua peserta sebelum dihidang secara serentak di atas meja.
“Pengiktirafan MBOR diharap dapat memperkenalkan lagi produk celup tepung yang menjadi identiti daerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE






