KUALA SELANGOR – Pencarian seorang pemancing warga emas lebih 37 jam selepas hilang akibat bot karam di perairan Kampung Kuantan berakhir selepas mayatnya ditemukan pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mayat lelaki berusia 73 tahun dijumpai di sekitar lokasi kejadian, kira-kira pukul 8.30 pagi oleh orang awam kira-kira 500 meter dari kawasan bot mangsa terbalik dan karam.
Kosmo! semalam melaporkan kegembiraan dua beranak angkat pulang selepas memancing bertukar tragedi apabila bot yang mereka naiki karam hingga mengakibatkan seorang pemancing warga emas hilang.
Kejadian pada pukul 6.47 petang itu menyaksikan mangsa berusia 73 tahun gagal ditemukan selepas terjatuh ke dalam sungai, manakala anak angkatnya berusia 49 tahun berjaya menyelamatkan diri. – KOSMO! ONLINE














