BUKIT KAYU HITAM – Seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran warga China dicekup ketika cuba keluar dari negara ini di sini hari ini.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Menurut JIM Kedah, penahanan tersebut adalah hasil rentetan siasatan terperinci yang dijalankan berhubung kes penyeludupan seorang warga China melalui ICQS Bukit Kayu Hitam pada 30 Mac lalu.
“Hasil penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), risikan dan siasatan lanjut berjaya mengenal pasti penglibatan dua warganegara Malaysia yang disyaki bertindak sebagai penyeludup migran.
“Susulan itu, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Kedah telah mengambil tindakan memasukkan kedua-dua suspek ke dalam Senarai Syak Jabatan bagi tujuan pengesanan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil tindakan tersebut, suspek pertama berjaya dikesan ketika memasuki negara melalui ICQS Padang Besar pada 24 April lalu sebelum ditahan dan diserahkan kepada Unit Penguat Kuasa ICQS Bukit Kayu Hitam.
“Penahanan suspek kedua pada semalam melengkapkan kejayaan pengesanan dan penahanan kedua-dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, suspek kedua direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya. – KOSMO! ONLINE














