KUANTAN – Tindakan nekad sekumpulan individu termasuk peneroka Felda melakukan aktiviti melombong bauksit di Felda Bukit Goh di sini membawa padah apabila mereka diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) semalam.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu pihaknya merampas dua longgokan tanah disyaki bauksit seberat 10,000 tan bernilai kira-kira RM2 juta.
“Turut dirampas ialah tiga buah lori tanah, dua buah jengkaut, dua longgokan tanah dengan nilai keseluruhan RM3.75 juta serta menahan sembilan individu untuk tindakan lanjut.
“Kesemua individu gagal mengemukakan sebarang kelulusan atau dokumen aktiviti yang sedang dilakukan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua individu termasuk lima warganegara asing diserahkan kepada pihak polis dan UPNP untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan aktiviti melombong mineral yang disyaki bauksit tanpa lesen dan secara tidak sah.
Katanya, rampasan diserahkan kepada pihak UPNP untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Akta Imigresen 1959 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati tapak lokasi berkenaan dipajak kepada sebuah syarikat bagi kerja-kerja pembersihan dan penanaman semula kelapa sawit.
Tambahnya, kesemua tanah yang telah disiap dikorek akan dihantar ke kilang memproses tanah di Gebeng dekat sini untuk diproses sebelum dihantar kepada pembeli.
“Hasil semakan mendapati aktiviti mengorek tanah tersebut tidak mempunyai sebarang lesen dan kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Pahang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














