fbpx
AHMAD SAMSURI ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pas PRN Johor ke-16 di Bakri, Johor malam tadi.

PRN Johor: Isu logo, PN jamin tiada pertembungan kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan bahawa penggunaan satu logo oleh Pas dan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak akan menyebabkan sebarang pertembungan kerusi antara kedua-dua parti dalam gabungan tersebut.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyelarasan itu dibuat bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan dalam satu hala tuju tanpa sebarang kekeliruan dalam kalangan pengundi.

“Pas pun guna logo PN, begitu juga Bersatu. Tak ada yang keliru sebab Pas tidak berlawan dengan Bersatu dalam kerusi PN. Tak ada clash.

“Yang penting kita bergerak sebagai satu pasukan untuk menghadapi pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pengumuman Calon Pas PRN Johor ke-16 di Bakri, malam tadi.

Beliau menegaskan bahawa pembahagian kerusi antara parti komponen telah dimuktamadkan lebih awal berdasarkan persetujuan bersama serta pertimbangan strategi pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu pada malam tadi turut mengumumkan seramai 16 calon akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih.

Antara kerusi yang ditandingi Bersatu ialah Kemelah, Bukit Kepong, Bukit Pasir, Serom, Bukit Naning, Semarang, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Layang-Layang, Tenggaroh, Panti, Sedili, Johor Lama, Penawar dan Stulang.

Sementara itu, Pas pula akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada PRN kali ini.

Antara lokasi yang ditandingi Pas ialah Jementah, Tenang, Simpang Jeram, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Seri Medan, Endau, Pasir Raja, Tiram dan Kahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN