HULU SELANGOR – Seorang wanita warga emas yang terlantar di atas katil diselamatkan anggota bomba selepas rumahnya dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang melanda kira-kira 30 rumah di Jalan 5, Rumah Murah Batu 30, Hulu Yam Lama, di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.51 petang.
Menurut beliau, empat anggota beserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira pukul 6.12 petang dan mendapati banjir berpunca daripada sistem longkang yang tersumbat sehingga menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan.
“Anggaran sebanyak 30 buah rumah terjejas dengan kira-kira 150 penduduk terkesan akibat kejadian itu.
“Seorang mangsa wanita warga emas yang terlantar di atas katil telah berjaya diselamatkan oleh anggota bomba sebelum dipindahkan ke kawasan yang selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashrul Riezal berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7 malam selepas keadaan berada dalam keadaan selamat dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.- KOSMO! ONLINE














