SEREMBAN – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan di Facebooknya bulan lalu.
Chegu Bard, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Tertuduh didapati menerbitkan penerbitan menghasut seperti mana ayat ‘Berdasarkan undang-undang Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Nadzaruddin Ibni Almarhun Tuanku Ja’afar sah merupakan Yang Dipertuan Besar Ke-12. Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah kini bekas Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan’ di Facebook Chegu Bard.
Kesalahan dilakukan di Jalan Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada puukl 8.30 malam, 26 Mei lalu. Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan, lelaki itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Sazali Omar menawarkan jaminan tidak kurang RM10,000 atas alasan hantaran yang dibuat oleh tertuduh melibatkan isu sensitif berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.
Pihak pendakwaan turut memohon supaya perintah larangan ‘gag order’ dikenakan terhadap Chegu Bard bagi melarang tertuduh membuat apa-apa komen atau hantaran berkaitan isu yang sedang berlaku melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan sehingga kes selesai.
Mahkamah tidak bersetuju meletakkan syarat ‘gag order’ setakat ini, namun jika tertuduh didapati membuat lagi hantaran sama dan boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni maka pendakwaan pihak pendakwaan boleh memohon ‘gag order’ beserta afidavit berkaitan. – KOSMO! ONLINE














