KUALA SELANGOR – Kegiatan pembuangan sampah haram dalam kawasan sawit dipercayai sejak dua tahun lalu di Jalan Harmoni 1, Simpang 3, Ijok terbongkar dalam operasi Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), hari ini.
Operasi lebih lima jam bermula pukul 9 pagi itu dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan MPKS bersama tujuh anggota bagi membanteras aktiviti yang menjejaskan kebersihan, kesihatan awam dan imej kawasan pentadbiran.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, hasil pemantauan mendapati wujud aktiviti pengendalian sampah haram menggunakan jentera berat.
“Kita menyita dua jentera iaitu sebuah jengkaut dan traktor jentolak yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan,” katanya hari ini.
Jelasnya, MPKS memandang serius sebarang aktiviti pembuangan sampah haram dan akan terus mempertingkatkan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE














