AMPANG JAYA – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Klang Gate, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.20 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah motosikal yang sedang bergerak dari arah Gombak menghala ke Ampang.
“Dipercayai kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal cuba memotong di sebelah kiri jalan sebelum hilang kawalan dan terjatuh.
“Mangsa kemudian dilanggar tayar belakang sebelah kiri lori tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, penunggang motosikal warga Indonesia terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan ambulans Hospital Ampang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














