JOHOR BAHRU – Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pembantu rumah di daerah ini tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30, dan isterinya, Nurfarah Ainna Hazhar, 34, serta Muhamad Firdaus Sha’aban, 33, dan isterinya, Nurafiqah Nabilah Hazhar, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama didakwa dengan sengaja msendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita warga Indonesia, Yulia Arnida, 34, di sebuah rumah di Jalan Ledang, Tampoi pada pukul 8.30 malam, 22 Disember tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Muhamad Firdaus dan Nurafiqah turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua lagi pembantu rumah, Yatina Yusnita dan Siti Hajar.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Jalan Delima 2/6, Taman Daya di sini antara pukul 2 petang hingga 4 petang pada 11 Jun lalu.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Hirzihaziq dan Nurfarah Ainna turut berdepan dua pertuduhan secara berasingan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Siti Hajar dan Yatina Yusnita dengan niat menyebabkan ketakutan kepada mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Melayu Majidee pada pukul 2 petang, 12 Jun lalu dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhamad Firdaus turut berdepan dua lagi pertuduhan memiliki pasport milik Siti Hajar dan Yatina Yusnita tanpa alasan munasabah serta kuasa yang sah di Pejabat Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada pukul 7.30 malam, 13 Jun lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan terhadap Nurfarah Ainna dan suaminya masing-masing sebanyak RM9,000, manakala Muhamad Firdaus dibenarkan ikat jamin RM11,500 dan Nurafiqah RM5,500. Mahkamah menetapkan 23 Julai depan bagi serahan dokumen manakala satu lagi kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 Julai.-KOSMO! ONLINE














