fbpx
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Lelaki OKU fizikal tidak mengaku ‘sentuh’ pelajar perempuan 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, minggu lalu.

Tertuduh, Gopinad Gulam Mohamad, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan di sebuah perhentian bas di Jalan Ipoh-Kampar, Kampung Batu Berangkai dalam daerah Kampar kira-kira pukul 2.05 petang, 18 Jun 2026.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang telah berkahwin itu turut didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa dengan mengeluarkan kata-kata berunsur lucah di lokasi dan tarikh sama kira-kira jam 2.10 petang.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Pavitra memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, bagaimanapun, sekiranya jaminan dibenarkan, beliau memohon agar jumlah jaminan yang tinggi dikenakan.

Katanya, mangsa dan tertuduh tidak mempunyai sebarang hubungan, namun tinggal berdekatan di daerah Kampar.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon jumlah yang tinggi dikenakan bersama syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

“Selain itu, tertuduh juga perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pegawai penyiasat atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar sebelum keluar dari daerah Kampar,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela, Khesmin Kapil Singh Dhanoa memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh seorang OKU fizikal di tangan kiri dengan berpendapatan tidak menentu dan ditanggung isteri.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan.

Tertuduh juga diperintahkan agar tidak mendekati, mengganggu atau menghubungi mangsa dan keluarganya atau mana-mana saksi pendakwaan dalam kes ini.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Julai depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN