GEORGE TOWN – Dua lelaki dilaporkan mengalami kecederaan parah dipercayai akibat salah faham dalam kejadian pergaduhan di sebuah tokong di Jelutong di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa utama seorang lelaki berusia 31 tahun didakwa telah diekori sekumpulan suspek selepas berlaku pertengkaran di sebuah pusat hiburan sebelum diserang di kawasan tokong berkenaan.
Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 64 tahun yang dipercayai penjaga tokong berkenaan, turut menjadi mangsa selepas cuba meleraikan serangan tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara salah seorang mangsa dan suspek di lokasi berbeza sebelum serangan berlaku.
“Dalam kejadian itu, mangsa pertama mengalami kecederaan parah termasuk putus jari telunjuk, manakala mangsa kedua mengalami kecederaan pada jari kelingking selepas cuba menghentikan serangan berkenaan.
“Kedua-dua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut beliau, polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 38 tahun pada hari yang sama di sekitar daerah Timur Laut bagi membantu siasatan.
“Daripada enam suspek yang ditahan, empat daripadanya telah mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Polis turut mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
“Kita juga sedang meneliti latar belakang kumpulan ini termasuk kemungkinan mempunyai kaitan dengan kegiatan gengsterisme. Jika terdapat elemen tersebut, polis akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebilah parang, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian, enam telefon bimbit, dua motosikal, sebuah kereta dan topi keledar.
“Hasil semakan mendapati sebahagian suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, namun ujian saringan air kencing terhadap kesemua mereka didapati negatif dadah.
“Mahkamah Majistret George Town telah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














