SEBERANG PERAI – Media perlu terus mempertahankan etika kewartawanan sekali gus berperanan menyampaikan maklumat yang benar bagi memastikan kestabilan negara serta memperkukuh sistem demokrasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyaluran maklumat yang tepat akan memberikan ruang dan pengaruh terhadap keputusan dalam penentuan masa depan.
Menurutnya, kebebasan media tidak boleh dipisahkan daripada nilai dan etika kerana penyampaian maklumat yang bertanggungjawab menjadi asas kepada pembentukan persepsi masyarakat serta pembangunan negara.
“Zaman Socrates membuktikan bahawa kebebasan tanpa batas boleh menggugat demokrasi sekiranya tidak dipandu oleh prinsip kebenaran dan profesionalisme.
“Kerana betapa pun benar kenyataan ‘pertahankan hak dan kebebasan sokrates’, ataupun betapa benar sekali kalangan yang menyanggah kerana bagi mereka soal keselamatan negara, keutuhan sistem, lebih penting dari kebebasan individu, ada dua kebenaran.
“Tetapi kebenaran itu akan dihukum dan nilai berdasarkan maklumat yang disalurkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak Sambutan HAWANA 2026 di Butterworth di sini, petang tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Malaysia terus komited memperkukuhkan hubungan strategik dengan Rusia selepas Presidennya, Vladimir Putin bersetuju melaksanakan perjanjian jangka panjang dalam menjamin pembekalan tenaga kepada negara.
Beliau memberitahu, komitmen yang ditunjukkan oleh Rusia adalah berasaskan kepercayaan serta rekod pelaksanaan janji yang konsisten, sekali gus memberi keyakinan terhadap hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
“Sangat melegakan Kerana itu yang mencabar dan baru yang kita terpaksa hadapi,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














