JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjamin bekalan barangan keperluan asas mencukupi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, tidak lama lagi.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh sehubungan itu berkata, rakyat di kedua-dua negeri tidak berasa bimbang berhubung perkara itu walaupun negara berdepan peningkatan kos logistik susulan konflik Asia Barat.
“Bekalan barangan keperluan termasuk barang-barang kawalan mencukupi. Kita tahu pada musim pilihan raya ini akan ada ramai orang luar negeri datang, petugas-petugas, jadi mungkin ada segelintir pihak bimbang berlaku gangguan bekalan barangan.
“Tetapi saya beri jaminan bekalan mencukupi, termasuklah bekalan minyak masak peket,” katanya ringkas ketika ditemukan pemberita pada Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Pasaraya Econsave Taman Daya, di sini hari ini.
Mengulas tentang program, Fuziah memberitahu sebanyak 13,692 siri PJRM telah dilaksana di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 13 Jun lalu.
“Di Johor, 920 PJRM dibuat meliputi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah memanfaatkan seramai 2.3 juta pengunjung dengan lebih 1.4 juta transaksi pembelian direkodkan.
“KPDN sasar penganjuran PJRM sebanyak lima kali sebulan bertujuan untuk memberikan manfaat kepada lebih ramai pengguna,” katanya. – KOSMO! ONLINE














