JOHOR BAHRU – 80 peratus senarai calon Barisan Nasional (BN) sudah dikenal pasti dan disenarai pendek bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, bulan depan.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagaimanapun senarai penuh calon yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Menurutnya, perkara itu kerana beberapa perbincangan bersama parti komponen masih diteruskan dan pemilihan calon dilakukan secara teliti.
“Kita ketengahkan gabungan calon yang boleh menang. Ada calon muda, ada calon lama, ada Melayu, Cina dan India. Itu semangat BN yang akan diteruskan.
“Pemilihan calon tidak hanya tertumpu kepada faktor umur, sebaliknya berdasarkan kemampuan seseorang untuk berkhidmat kepada rakyat serta diterima pengundi,” katanya dalam sesi temu bual bersama media di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di sini semalam.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, BN tidak mahu tergesa-gesa memuktamadkan senarai calon kerana masih terdapat ruang untuk perbincangan lanjut bersama pimpinan parti komponen.
Katanya, perbincangan masih berjalan melibatkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Pengerusi MIC Johor, K. Raven, Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon serta Setiausaha MCA Johor, Lee Ting Han.
“Beri sedikit masa lagi. Senarai penuh calon dan manifesto BN Johor dijangka diumumkan minggu ini atau minggu depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














