PONTIAN – Pas Kawasan Pontian mengesahkan akan meletakkan calon bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadual berlangsung 11 Julai depan.
Yang Dipertua Pas Pontian, Ibrahim Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menghantar senarai tiga calon kepada kepimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan sebelum keputusan muktamad diumumkan.
“Gerak kerja menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) telah dimulakan sejak dua tahun lalu. Kita menambah cawangan baharu selain memperkasakan jentera di setiap peringkat. Jentera pilihan raya juga telah dibentuk dan tenaga penceramah disusun bagi memastikan kempen berjalan lancar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Pontian di Ayer Baloi di sini malam tadi.
Pada PRN Johor 2022, Pas yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) menerusi calonnya, Abdullah Husin gagal menawan kerusi tersebut dalam saingan empat penjuru.
Ketika itu, calon Barisan Nasional (BN), Hasrunizah Hassan memperoleh 12,473 undi, diikuti calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat dengan 6,148 undi, Abdullah Husin (5,967 undi) dan calon Pejuang, Abd. Rashid Abd. Hadi yang meraih 329 undi. – KOSMO! ONLINE














