PETALING JAYA – Golongan ceti haram atau along didakwa dikesan menggunakan taktik pemerasan baharu yang lebih licik dengan menyasarkan wang menerusi aktiviti jual beli barangan terpakai (preloved) di platform media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Nitahmhud, dia mendedahkan bagaimana seorang penjual boleh terjerat menjadi ‘peminjam paksa’ sekelip mata hanya selepas berkongsi kod QR akaun bank mereka kepada pembeli.
“Taktik along sekarang makin dahsyat. Contohnya, korang jual barang preloved bernilai RM2,000, along ini akan hantar mesej kononnya berminat nak beli. Bila dia nak bayar, korang pun secara kasual akan bagi kod QR untuk pindahan wang.
“Plotnya bermula apabila tiba-tiba dia tuduh korang cuba scam (tipu) dia. Jadi, dia paksa hantar balik wang RM2,000 tadi, tetapi sekali dengan bunga (faedah) sekiranya lambat berbuat demikian sehinggakan jumlahnya mendadak naik mencecah RM5,000,” katanya.
Menurutnya lagi, sekiranya mangsa hanya memulangkan jumlah asal, sindiket berkenaan akan mula membuat ugutan jenayah termasuk mengancam untuk datang menyerang ke rumah bersama ahli kumpulan mereka.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa pengguna lain turut mengesahkan modus operandi licik tersebut, malah mendakwa sindiket terbabit sengaja menghubungi mangsa pada waktu awal pagi bagi mengambil kesempatan atas talian ketika mangsa berada dalam keadaan mamai.
“Tolong percaya benda ini sebab ada orang terdekat dah kena. Mula-mula kata nak pinjam RM50, tiba-tiba minta RM300 sekali ugutan.
“Mereka ini pandai, mereka akan telefon kita pukul 5 atau 6 pagi waktu kita tengah mamai. Jadi tolong berhati-hati,” dedah seorang lagi pengguna Threads,” ujar Epahcreeper.
“Rumah saya ni pun along pandai dah masuk, edarkan risalah dan kad perniagaan mereka. Saya dah tutup pagar pun memandai mereka masuk,” kata Ainnajwaa_. – KOSMO! ONLINE














