fbpx
RFAN bersama ibunya Robiah Wahab (dua dari kanan) serta ahli keluarganya ketika mengambil slip keputusan STPM 2025 di SMK Dong di Raub hari ini.

Berjaya tebus semua A dalam STPM selepas gagal capai target SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Pengorbanan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membesarkan enam anak akhirnya berbalas apabila anak ketiganya berjaya memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Irfan Nazmi Ahmad Fakharuddin, 20, berkata, kejayaan yang diraih itu merupakan hadiah paling bermakna buat ibunya, Robiah Wahab, 46, yang menjadi tulang belakang keluarga sejak bapanya meninggal dunia akibat kemalangan kira-kira 12 tahun lalu.

Menurutnya, dia masih mengingati perasaan kecewa yang pernah dialami selepas memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana merasakan pencapaian itu belum cukup untuk membanggakan ibunya.

“Saya pernah rasa gagal walaupun dapat 8A dalam SPM kerana sasaran saya ketika itu adalah memperoleh 10A. Saya rasa belum mampu membanggakan mak seperti yang saya impikan. Selepas SPM, saya ada menerima tawaran mengikuti program asasi, namun memilih untuk menolaknya selepas berbincang dengan mak,”katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Atok, dekat sini, hari ini.

Irfan berkata, ibunya kemudian menasihatkan supaya menyambung pengajian di peringkat STPM dan terus berusaha mencapai cita-cita menjadi seorang pendidik.

“Alhamdulillah, keputusan PNGK 4.0 ini adalah bukti usaha saya dan hadiah istimewa untuk mak yang tidak pernah berhenti memberi sokongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN