IPOH – Seorang tukang kebun yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan cuba merogol bekas teman wanitanya.
Tertuduh, Mohammad Farizzal Fazly Mohd. Zulkifly, 30, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Lelaki itu didakwa melakukan cubaan merogol ke atas mangsa berusia 25 tahun di dalam kereta jenis Proton Saga Iswara di kawasan kebun kelapa sawit di Seberang Perak, Kampung Gajah pada pukul 5 pagi, 10 Jun lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Mohammad Farizzal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman paling ringan dikenakan terhadapnya.
“Saya bekerja sebagai tukang kebun sekolah di Batu Kikir, Negeri Sembilan dengan gaji RM1,500 sebulan. Ayah bekerja kampung, manakala ibu seorang suri rumah.
“Saya (merupakan) anak kedua daripada sembilan beradik. Saya mohon hukuman yang paling ringan, tempoh penjara yang singkat dan sebatan pada kadar minimum. Saya benar-benar insaf dan menyesal atas perbuatan saya,” katanya.
Hakim Jean Sharmila kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 11 Jun lalu serta tiga sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara dan mengikuti sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan.
Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Fahmi Abdullah, 29. Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














