fbpx
Fadhlina bergambar bersama sebahagian pelajar terbaik STPM 2025 yang hadir menerima anugerah ketika Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2025 di Dewan Besar, Majlis Peperiksaan Malaysia, Selayang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Prestasi STPM 2025 meningkat, hasil pengukuhan ekosistem Tingkatan Enam – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAYANG – Peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 daripada 2.85 kepada 2.88 membuktikan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem pendidikan Tingkatan Enam mula membuahkan hasil.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, lonjakan prestasi itu menunjukkan mutu sistem pendidikan negara semakin kukuh hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, kerajaan sejak awal pentadbiran memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan Tingkatan Enam kerana melihat laluan itu mempunyai potensi besar dalam melahirkan pelajar berkualiti sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Lonjakan yang sangat baik dari segi prestasi STPM negara, dari 2.85 naik ke 2.88 secara keseluruhannya. Ini menunjukkan bahawa prestasi dan motor pendidikan kita bertambah baik dan bertambah kukuh dengan ekosistem yang telah pun kita sediakan.

“Saya ingat sebaik saja kami ataupun Kerajaan Madani ingin mengambil alih, kita memberikan tumpuan kepada Tingkatan Enam ini dan melihat ia berpotensi tinggi untuk menunjukkan mutu pendidikan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2025 di sini hari ini.

Tambah Fadhlina, peningkatan prestasi STPM turut disumbangkan oleh pelbagai sistem sokongan termasuk pelaksanaan intervensi kepada pelajar yang memerlukan bantuan akademik, selain sistem ‘patching’ yang membolehkan pelajar memperbaiki keputusan semester terdahulu.

Katanya, langkah itu membantu mengurangkan keciciran dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam dan memberi peluang kepada mereka meningkatkan pencapaian sebelum menduduki peperiksaan akhir.

“Semua intervensi dan sistem sokongan ini menjadi antara teras kepada peningkatan prestasi, selain dedikasi tinggi guru-guru yang sentiasa memberi komitmen kepada pelajar Tingkatan Enam.

“Kita akan terus memperkukuhkan sistem sokongan supaya Tingkatan Enam kekal menjadi pilihan utama selain laluan asasi dan matrikulasi,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Fadhlina berkata, kerajaan juga telah memutuskan supaya pengurusan Tingkatan Enam dan matrikulasi diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh laluan pendidikan prauniversiti negara.

Katanya, sementara proses tersebut dimuktamadkan, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan Tingkatan Enam.

“Antara usaha yang diteruskan termasuk peluasan kolej Tingkatan Enam, transformasi pembelajaran digital menerusi penyediaan papan pintar (smartboard).

“Selain itu pemberian Bantuan Awal Persekolahan, Baucar Buku Madani serta peruntukan RM50,000 kepada Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam bagi melaksanakan aktiviti kepimpinan,” ujarnya.

Dalam majlis sama, KPM turut memberi pengiktirafan kepada 16 kolej Tingkatan Enam terbaik, 16 sekolah Mod 2 dan Mod 3 terbaik serta sebuah sekolah di Sabah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan, Tawau, Sabah yang menerima Anugerah Khas Lonjakan Prestasi Terbaik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN