KUALA TERENGGANU – Keadaan remaja lelaki, Ahmad Asyraf Talha, 13, yang melecur teruk setelah terlibat dalam kemalangan dengan peserta RXZ Members 8.0 bersama ibunya pada Jumaat lalu masih belum stabil dan terpaksa ditidurkan.
Bapanya, Talha Mahmud, 61, berkata, Ahmad Asyraf tersedar seketika pada pagi semalam tetapi terpaksa ditidurkan semula berikutan jantungnya didapati berdenyup terlalu kencang berbanding keadaan normal.
“Tubuh anak saya (Asyraf) melecur 60 peratus dengan majoriti lapisan luar kulitnya sudah tiada. Sebab itu dia perlu ditidurkan bagi memudahkan prosedur pembersihan luka dilakukan,” katanya di sini semalam.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan Asyraf dan ibunya, Syafirah Salim, 36, melecur setelah motosikal jenis Honda Beat dinaiki mereka terbakar setelah di persimpangan lampu isyarat Kampung Bulu Gading, Kuala Nerus dekat ini.
Dalam kemalangan pada pukul 11.50 pagi itu, motosikal dinaiki mereka dikatakan dirempuh motosikal Yamaha RXZ ditunggangi peserta RXZ Members 8.0 yang hilang kawalan lalu terbabas.
Talha berkata, Asyraf yang merupakan tingkatan satu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ).
Dia mengakui agak risau kerana berdasarkan maklum balas pegawai perubatan, setakat ini, proses pemulihan anaknya masih belum menunjukkan perkembangan positif.
“Prosedur menampal luka kebakaran di (Asyraf) pun terpaksa ditangguhkan ekoran kekurangan stok tisu kulit oleh pihak hospital. Kerisauan utama saya ialah luka melecur tersebut berisiko terdedah dengan jangkitan kuman,” katanya.
Talha memberitahu keadaan isterinya, Syafirah yang hamil tujuh bulan stabil dan dijangka keluar dari wad HSNZ.














