fbpx
Shaharudin (dua dari kiri) bersama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Marzita Mansor (dua dari kanan) melawat gerai jualan bersempena FKU 2026 di Kangar kelmarin.

FKU 2026 buka pasaran baharu untuk usahawan kraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Festival Kraf Utara (FKU) 2026 bukan sekadar menjadi platform mempromosikan produk tempatan, malah membuka peluang pasaran lebih luas kepada usahawan kraf menerusi jaringan bersama pembeli berpotensi dari pelbagai sektor.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, festival itu turut menjadi medium mempertemukan usahawan dengan syarikat peng­eksport, agensi kerajaan, sya­rikat perhotelan dan pusat beli-belah.

“Festival ini menjadi platform terbaik untuk memperluaskan pasaran produk kraf tempatan, di samping mewujudkan rangkaian perniagaan antara usahawan dan pembeli berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Jelajah Mesra Festival Kraf Utara 2026 yang ­disempurnakan Menteri Besar ­Perlis, Abu Bakar Hamzah di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di sini kelmarin.

Shaharuddin Abu Sohot

Menurut Shaharuddin, festival yang berlangsung selama 12 hari itu menghimpunkan 72 usahawan kraf dari seluruh negara membabitkan pelbagai bidang termasuk tekstil, hasil tanah, hasil logam, hasil rimba dan aneka kraf.

Katanya, FKU 2026 turut di­ser­tai 29 Projek Pembangunan Kema­hiran Komuniti (PPKK) dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang mempamerkan pelbagai produk seperti batik, anyaman rotan, anyaman buluh, anyaman mengkuang, tempurung dan sulaman manik.

“Program seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan pen­dapatan usahawan, malah memperkukuh kelangsungan industri kraf tempatan melalui promosi dan padanan perniagaan,” katanya.

Terdahulu, Abu Bakar turut melepaskan 151 peserta Perlis Culture Ride yang berbasikal menuju ke Homestay Komuniti Kampung Rama dan Chalet Kurong Tegar.

Peserta kemudiannya disam­but dengan pelbagai aktiviti ke­se­nian termasuk persembahan kebudayaan serta demonstrasi ma­kanan dan permainan tradisio­nal.
Festival Kraf Utara 2026 berlangsung dari 23 Julai hingga esok di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, bermula pukul 10 pagi ­hingga 10 malam.

Selain jualan produk kraf, festival itu turut menawarkan pelbagai aktiviti bersama agensi kerajaan termasuk Program Jualan Rahmah MADANI, pameran keselamatan kebakaran, program derma darah, pertandingan mewarna dan pame­ran Askar Wataniah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN