JITRA – Di sebalik rutin menjalani dialisis selama sembilan jam setiap hari, seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit buah pinggang kronik menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke Menara Alor Setar pada waktu malam.
Mohammad Ammar Iffat Mohd. Nizam, 5, menyuarakan hasrat itu kepada ibunya, Fatin Nur Atiqah Zaidan, 31, selepas melihat cahaya di puncak menara dari tingkap wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Oktober tahun lalu.
Katanya, Mohammad Ammar akan menarik kerusi ke kawasan tingkap dan berdiri lama untuk melihat cahaya menara tersebut dari jauh.
“Dia beritahu bila angah (nama panggilan) keluar hospital, kita naik menara ya. Sampai sekarang dia masih bertanya bila boleh bawa dia ke sana,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal di rumah keluarganya di Kampung Bukit Berangan, Binjal di sini baru-baru ini.
Menurut Fatin, anak kedua daripada tiga beradik itu disahkan menghidap bilateral Wilms tumor iaitu kanser yang menyerang kedua-dua buah pinggang ketika berusia 11 bulan.
Kanak-kanak itu menjalani pembedahan membuang dua ketulan tumor, kemoterapi dan radioterapi sebelum disahkan bebas kanser, namun penyakit itu menyebabkan sebelah buah pinggang
Mohammad Ammar gagal berfungsi, manakala sebelah lagi berfungsi 50 peratus.
“Sejak itu angah perlu menjalani dialisis air selama sembilan jam setiap malam di rumah selain rawatan berkala. Walaupun bergantung dengan mesin dialisis, dia tidak pernah merungut dan selalu cakap ‘angah kuat ibu’,” katanya sebak.
Fatin berharap dia dapat menunaikan impian kecil anaknya untuk menjejakkan kaki ke Menara Alor Setar kerana bagi Mohammad Ammar, impian tersebut adalah sangat besar.
Ceritanya, Mohammad Ammar bercita-cita mahu menjadi anggota bomba selain menyatakan hasrat mahu membeli rumah besar untuk didiami bersama ibu bapanya.
Sementara itu, Zuraini berharap ada pihak yang sudi merealisasikan impian Mohammad Ammar berkunjung ke Menara Alor Setar untuk menikmati pemandangan bandar raya Alor Setar dari puncak.
rang ramai yang ingin membantu keluarga kanak-kanak itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 02039025209790 atas nama Fatin Nur Atiqah.














