JAGUH judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed mengukir namanya dalam lipatan sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel selepas menjuarai kategori bawah 81 kilogram (kg) di Scottish Event Campus (SEC), Glasgow.
Kejayaan luar biasa atlet berusia 21 tahun itu bukan sahaja menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah, malah menamatkan penantian panjang negara dalam sukan tersebut selepas judo mula dipertandingkan di temasya berkenaan.
Lebih bermakna, emas bersejarah itu hadir hasil pengorbanan besar yang dilalui penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut apabila terpaksa membahagikan masa antara latihan intensif dan tanggungjawab sebagai pelajar sehingga jarang berpeluang meluangkan masa bersama keluarga.
“Mungkin selepas ini saya boleh berehat selama seminggu dan meluangkan masa bersama keluarga. Pingat ini untuk seluruh rakyat Malaysia. Ini emas pertama judo Malaysia di Sukan Komanwel dan nilainya sangat besar buat saya,” katanya.
Menurut Amir, kejayaan itu menjadi bukti segala pengorbanan yang ditempuh selama ini akhirnya membuahkan hasil, termasuk mengorbankan masa bersama insan tersayang demi mengejar impian mengharumkan nama negara.
“Segala pengorbanan, darah, keringat dan air mata akhirnya membuahkan hasil. Pengorbanannya bukan sahaja dari segi masa dan kewangan, tetapi juga masa bersama keluarga.
“Setiap hari saya perlu menjalani latihan dan meneruskan pengajian sehingga tidak pernah ada masa untuk saya duduk dan bertanya kepada ibu bagaimana harinya,” ujarnya.
Pada aksi final, Amir yang menghuni ranking ke-117 dunia mencipta sensasi apabila menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen yang berada di ranking ke-41 dunia menerusi kemenangan waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit.
Kejayaan itu turut disaksikan sendiri ibunya, Yeoh Suatkhim dan kakaknya, Nur Yasmeen, sekali gus melengkapkan detik paling manis buat Amir yang sebelum ini pernah menghadiahkan gangsa dalam kategori bawah 73kg pada Birmingham 2022, iaitu pingat pertama Malaysia dalam sejarah judo di Sukan Komanwel.














