HOUSTON – Portugal gagal memanfaatkan status sebagai pasukan pilihan apabila sekadar seri 1-1 dengan Congo dalam aksi Kumpulan K saingan Piala Dunia 2026, sekali gus meneruskan rekod negatif mereka dalam perlawanan pertama kejohanan berprestij itu.
Ini adalah kali keempat dalam lima edisi Piala Dunia terakhir Selecao memulakan aksi pembukaan dengan ‘langkah kiri’ walaupun bermula dengan cukup meyakinkan di Houston.
Skuad kendalian Roberto Martinez hanya memerlukan beberapa minit untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan Joao Neves seawal minit ke-6.
Namun, kelebihan itu gagal dipertahankan apabila Congo DR mula menemui rentak permainan dan semakin berani mengasak benteng lawan.
Usaha mereka membuahkan hasil menjelang tamat babak pertama apabila Yoane Wissa menjaringkan gol penyamaan menerusi situasi sepakan penjuru.
Lebih membimbangkan buat Portugal, Congo DR sebenarnya tampil lebih berbahaya selepas itu dengan mencatat lebih banyak percubaan serta peluang berkualiti berbanding lawan mereka.
Portugal pula dilihat kehilangan kreativiti dan hanya mampu menghasilkan enam percubaan sepanjang baki perlawanan selepas gol awal Neves.
Martinez turut melakukan beberapa pertukaran dengan mengeluarkan tonggak utama seperti Bernardo Silva, Pedro Neto, Nuno Mendes dan Vitinha.
Namun, seorang pemain yang kekal berada di atas padang sehingga wisel penamat ialah kapten pasukan, Cristiano Ronaldo.
Pada penampilan Piala Dunia keenamnya pada usia 41 tahun, Ronaldo gagal memberi impak besar apabila hanya mencatat tiga percubaan ke arah gol sepanjang 90 minit permainan.
Prestasi itu turut mengundang perdebatan baharu mengenai peranan dan pengaruh Ronaldo dalam skuad Portugal ketika bintang-bintang lain seperti Harry Kane, Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Lionel Messi meledak jaringan berganda pada aksi pembukaan. – AGENSI














