PETALING JAYA – Sebuah bas ekpres didakwa mengalami masalah melanggar beberapa kenderaan dalam kejadian di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora, semalam.
Kejadian itu tular di media sosial dengan rakaman kamera papan pemuka atau dahscam itu dikongsikan orang ramai.
Berdasarkan video berkenaan, kelihatan bas tersebut bergerak di lorong kanan menghentam belakang sebuah lori, manakala kelihatan dua kereta kemudian bergerak ke lorong kanan bagi mengelakkan dilanggar.
Lori berkenaan kemudian merapati tepi bahagian penghadang seolah-olah cuba menahan bas eskpres tersebut daripada terus bergerak.
Kedua-dua kenderaan itu kemudian dilihat berhenti di tepi penghadang tersebut.
Dalam pada itu, pengguna media sosial memuji tindakan pemandu lori berkenaan dan menyifatkannya sebagai penyelamat dalam mengurangkan risiko kemalangan menjadi lebih besar.
“Lori berada di tempat dan waktu yang tepat. Berperanan besar menjadi penampan. Kalau tak, hanya Allah je yang tahu kesudahannya. Nauzubillah,” komen pengguna Facebook Mohd. Kamal Yusof.
“Dalam siri ini, penghargaan diberi kepada pemandu lori. Anda hebat, abang bas pun hebat kawal. Semoga dipermudah urusan. Rosak lori dan bas tak apa, boleh tuntut. Meninggal penumpang ramai yang sedih. Terima kasih abang lori dan abang bas, semoga majikan kalian melihat pengorbanan kalian. Tak salahkan kalian, anda di tempat benar,” komen La Tahzan Al-kelantani.
“Terbaik pilot darat menyelamatkan banyak nyawa, anda hero kali ini,” kata Mohd Asyakirin Al-Muazzallah. – KOSMO! ONLINE














