KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Taman Sepakat Indah 2, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 kira-kira pukul 7.12 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan kanak-kanak lelaki tempatan berusia 11 tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh bangunan berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sehubungan itu, polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan anak-anak terutama yang tinggal di kawasan kediaman bertingkat.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau berdepan sebarang kecemasan diminta menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243 untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














