SHAH ALAM – Sindiket penipuan antarabangsa terus bertindak agresif apabila turut menawarkan khidmat seks tidak wujud sebagai umpan bagi memperdaya mangsa luar negara.
Kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu empat premis di Setia Alam, Seri Kembangan, Mahkota Cheras dan Country Heights antara 8 hingga 10 Jun lalu sehingga membawa kepada penahanan 41 warga asing berusia 18 hingga 48 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati serbuan itu melibatkan empat sindiket berasingan yang aktif sejak Januari hingga April lalu.
Menurutnya, mereka menjalankan operasi penipuan dalam tawaran kerja, pelaburan tidak wujud dan love scam.
“Malah, ada sindiket menawarkan khidmat seks tidak wujud terutama kepada warga Eropah melalui aplikasi Telegram.
“Sasaran mangsa bagi empat sindiket ini adalah Eropah, Amerika Syarikat dan China,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, sindiket itu turut beroperasi secara terancang dengan menjadikan banglo dua dan tiga tingkat serta rumah teres sebagai ‘markas’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Tambahnya, kesemua suspek yang bertindak sebagai operator dipercayai menerima bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan, bergantung kepada peranan masing-masing.
“Kita masih mengesan dalang utama sindiket ini yang dipercayai warga asing,” jelasnya.
Katanya, siasatan turut mendapati kesemua suspek berasal dari Timur ASEAN dan semakan silang sedang dijalankan susulan terdapat dokumen meragukan.
“Mereka kini direman dan ada antaranya telah dituduh di mahkamah dibawah Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan sindiket merangkumi 74 telefon bimbit, komputer riba (24) dan router (6) dan dua unit moden selain dua kenderaan.
“Nilai kesemua rampasan termasuk wang tunai dianggarkan RM409,200,” katanya. – KOSMO! ONLINE














